Due to covid-lockdown in Malaysia, We are only processing orders twice a week now . please expect delivery delays.

SOALAN-SOALAN UMUM BERKAITAN KORBAN

Posted by ZAAHARA .COM on

1) Apakah pengertian ibadah korban? Ibadah korban ialah ibadah sembelihan haiwan ternakan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di Hari Raya Aidiladha iaitu pada 10 Zulhijjah dan tiga hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

 

2) Siapakah yang boleh untuk berkorban? Mereka terdiri daripada:-

a) Orang Islam

b) Merdeka

c) Baligh (dewasa)

d) Berakal

 Berdasarkan ini, korban tidak diperintahkan kepada orang kafir, hamba sahaya, anak-anak dan orang gila.

e) Mampu Apa yang dimaksudkan dengan mampu ialah;

 Orang yang mempunyai kelebihan berbelanja untuk keperluan diri serta tanggungan seisi keluarganya pada Hari Raya Aidiladha dan tiga hari sesudahnya, iaitu hari Tasyrik; 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

 Orang yang mampu, makruh meninggalkan ibadah korban, kerana Rasulullah S.A.W telah bersabda, yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kelapangan tetapi tidak berkorban, maka hendaklah dia mati dalam keadaan mati Yahudi atau mati Nasrani, jika dia mahu.”

 Hadis lain pula menyatakan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kelapangan, tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.”

“Sunat hukumnya berniat untuk melaksanakan ibadah korban bagi orang yang berkorban pada tanggal 10 Zulhijjah, tidak membuang rambut atau bulu-bulu yang ada di tubuhnya, seperti mencukur misai atau janggut, memotong kuku dan sebagainya, hingga haiwan korbannya selesai disembelih”.

 Ummu Salamah menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat awal bulan Zulhijjah, dan salah seorang di antara kamu bermaksud akan berkorban, maka hendaklah ia menahan rambut dan kuku-kukunya.”

3) Apakah hukum melaksanakan ibadah korban? Hukum melaksanakannya adalah SUNAT MU’AKKAD iaitu sunat yang sangat dituntut.

4) Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?

 Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T; “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. [Surah al-Kautsar: ayat 2]  Mengikut tafsiran ulama, maksud solat pada ayat ini ialah solat sunat Aidiladha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut: “Jadikanlah solatmu ikhlas hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan kepada selain daripadaNya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”.

5) Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?

 Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendatangkan ganjaran yang amat besar daripada Allah.

 Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih diredhai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” [Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim]

6) Apakah jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk berkorban?

 Jenis haiwan yang sah untuk dijadikan haiwan untuk ibadah korban adalah:- a) Kibas, biri-biri atau domba

b) Kambing

c) Lembu atau kerbau

d) Unta

Korban/ aqiqah kambing di Makkah

 Haiwan-haiwan tersebut haruslah jinak, yang terdiri daripada haiwan ternak atau peliharaan. Haiwan liar seperti kambing hutan atau seladang yang hidup dalam rimba, tidak sah dijadikan korban.

 Umur minima bagi haiwan yang boleh dijadikan korban seperti berikut:-

a) Kambing, kibas, biri-biri atau domba, lebih satu tahun.

b) Lembu, lebih dua tahun.

c) Unta, lebih lima tahun.  Rupa bentuk serta kesihatan haiwan korban telah ditentukan oleh Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang bermaksud: “Empat perkara yang tidak boleh pada haiwan korban ialah yang nyata benar buta matanya, yang nyata benar sakitnya, yang nyata benar pincang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya”. [Riwayat Tirmizi]

 Haiwan yang patah tanduknya tetapi tidak sampai mengurangi daging, sah dijadikan korban. Akan tetapi haiwan yang patah tanduknya, tercabut sampai ke pangkalnya sehingga mengurangi daging, tidak sah dijadikan korban. Haiwan yang putus telinga atau putus ekornya, jika masih melekat atau belum terpisah dari asalnya, sah dijadikan korban. Akan tetapi jika terpisah dari badannya, tidak sah dijadikan korban.

 Jantina haiwan korban bukan merupakan syarat sah korban. Sah dijadikan korban haiwan jantan, betina ataupun khunsa. Haiwan yang sedang hamil tidak sah dijadikan korban. Akan tetapi haiwan yang dikembiri (dikasi), boleh dikorbankan, kerana hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan lain-lainnya ada menyatakan: “Bahawa Rasulullah S.A.W telah berkorban dengan dua ekor kibas yang telah dikembiri.”

 Manakala dalam riwayat Imam Ahmad pula, Abu Rafi’i berkata: “Rasulullah S.A.W berkorban dengan dua ekor kambing yang putih kehitaman dan buah zakarnya telah mengembang sehingga dagingnya lebih baik dan enak. Kemudian beliau menyerukan untuk berlumba-lumba memilih haiwan korban yang terbaik.”

7) Bagaimana kadar bagi binatang korban?

 Seekor kambing atau biri-biri merupakan kadar minima ibadah korban yang cukup untuk satu keluarga. Pendapat ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari ‘Athaa ibn Yasar, ujarnya:

“Aku telah bertanya kepada Abu Ayub Al Ansari: Berapakah korban yang tuan-tuan lakukan pada zaman Rasulullah? Abu Ayub menjawab: Ada seorang lelaki pada masa Nabi S.A.W berkorban seekor kambing untuk dirinya dan ahli keluarganya. Mereka makan sebahagian daging itu dan sebahagian diberikannya kepada orang lain, hingga manusia telah termengah-mengahan dengan udhiyah itu, dan terjadilah seperti engkau persaksikan sekarang ini.”

 Seekor lembu atau unta boleh dikongsi tujuh orang, kerana menurut hadis Muslim dari Jabir:

 “Pada musim haji, Rasulullah S.A.W telah menyuruh kami berkongsi tujuh orang pada seekor unta dan seekor lembu.”

 Hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Al Barqani menyatakan: “Rasulullah S.A.W telah bersabda kepada kami: “Berkongsilah kamu dengan seekor unta dan lembu, untuk tujuh orang seekor.”

8) Apakah hukumnya berkongsi wang dengan seorang kawan untuk membeli seekor kambing bagi tujuan korban? Islam telah meletakkan syarat bahawa seekor kambing boleh dijadikan haiwan sembelihan korban bagi satu kepala atau seorang sahaja, manakala mereka yang telah membeli seekor kambing bagi tujuan korban dengan berkongsi wang, maka mereka hanya mendapat pahala perkongsian selagi mana penyembelihan belum berlaku kerana niat yang baik membeli seekor kambing bagi tujuan korban, akan tetapi selepas penyembelihan haiwan tersebut, pahala itu hanya untuk orang yang di atas namanya haiwan korban itu disembelih.

 

korban/akikah kambing di makkah

9) Bilakah waktu penyembelihan korban? Waktu penyembelihan haiwan korban bermula apabila khatib turun dari atas mimbar selepas khutbah solat Aidiladha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenamnya matahari pada 13 Zulhijjah. Maka tempoh menyembelih haiwan korban hanya empat hari dalam setahun iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Sesiapa yang menyembelih korban sebelum atau sesudah waktu itu, tidak sah korbannya seperti maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim: “Yang mula-mula kami perbuat pada hari kami ini (Hari Raya Aidiladha) ialah kami solat kemudian pulang, lalu kami meyembelih. Sesiapa berbuat begitu maka dia sesuai dengan sunnah kami. Sebaliknya sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka sesungguhnya itulah daging yang diberikan kepada keluarganya tidak sedikitpun termasuk ibadat (korban).”

10) Bolehkah niatkan korban bagi ibu/ bapa/ahli keluarga yang telah meninggal dunia? Orang yang telah meninggal dunia amat memerlukan sedekah daripada orang yang masih hidup, khususnya dari kalangan ahli keluarga bagi meneruskan amal kebajikan yang boleh menambah bekalan amal baik sebagai bekalan di akhirat nanti.

Seperti amalan sedekah lainnya yang sunat dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, maka berkorban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia boleh dilaksanakan mengikut pandangan mazhab Imam Hanafi dan Imam Hambali. Berdoalah kepada Allah S.W.T supaya menerima korban tersebut dan memberikan pahala kebajikannya kepada kedua ibu bapa.

11) Bolehkah sekiranya seekor lembu korban itu disekalikan niat untuk korban dan aqiqah? Boleh. Seekor lembu ataupun unta, ianya boleh dikongsikan kepada tujuh bahagian. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Jabir bin Abdullah R.A yang mana menyebutkan:

“Kami telah melakukan korban bersama-sama Rasulullah S.A.W pada tahun Hudaibiyah dengan unta yang dikongsi dengan tujuh bahagian dan lembu yang dikongsi dengan tujuh bahagian.” [Riwayat Muslim (1318), Abu Daud (2809) & Al Tirmizi (1502)]

Pendapat Al Syafi’eyyah membenarkannya. Ini seperti mana pendapat Ibn Hajar Al Haithami R.A yang mana menyebutkan bahawa:

“Sekiranya disembelih unta atau lembu untuk tujuh bahagian bagi sebab-sebab darinya untuk korban dan aqiqah manakala bakinya untuk kaffarat bagi bercukur ketika ibadah haji makan sah hukumnya.” [Lihat Al Fatawa Al Fiqhiyyah Al Kubra. Al Maktabah Al Islamiyyah, 4/256] Pendapat Al Hanafiah juga membenarkannya.

Ia sepertimama disebutkan oleh Ibn ‘Abidin al Hanafi R.A di dalam Hasyiahnya iaitu dibenarkan untuk berlakunya perkongsian bagi korban dan aqiqah. Ini kerana korban dan juga akikah adalah amalan yang keduanya mendekatkan diri kepada Allah S.W.T (korban). [Lihat Rad Al-Muhtar ‘ala Al-Dur Al-Mukhtar. Dar Al-Fikr, 6/326]

12) Bolehkah kita melakukan korban di luar negara? Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke66 yang bersidang pada 25 November 2004 telah memutuskan bahawa harus mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain.

Daripada Aisyah R.A, Bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari Al Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah S.W.T selain daripada menumpahkan darah (binatang korban).

Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah S.W.T sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat Al Tirmizi: 1493]

13) Bolehkah seseorang mewakilkan pihak tertentu melaksanakan korban bagi pihaknya di tempat lain? Adalah sunat bagi lelaki yang hendak berkorban itu menyembelih sendiri haiwan korban tersebut dengan tangannya, jika ia mampu. Jika ia tidak mampu, maka berwakillah kepada orang lain, kerana “Nabi S.A.W telah berkorban dengan 100 ekor unta, 63 ekor daripadanya Baginda sendiri menyembelihnya dan 37 ekor lagi diserahkannya kepada Saidina Ali bin Abi Talib untuk disembelihkan.”[Hadis riwayat Ahmad dan Muslim] Mewakilkan penyembelihan korban kepada pihak lain adalah suatu yang dibenarkan bagi memudahkan amalan dan budaya tersebut diamalkan oleh umat Islam seluruhnya.

 

korban/akikah kambing di makkah

14) Bagaimana cara yang paling baik mengagihkan daging korban? Bagi pengagihan daging korban, golongan yang paling diutamakan ialah fakir miskin dalam kalangan keluarga terdekat, kemudian fakir miskin dalam kalangan jiran tetangga. Daging korban tidak boleh diberikan kepada fakir miskin yang tidak beragama Islam.

15) Apakah yang dimaksudkan dengan sedekah sembelihan? Sedekah sembelihan adalah sedekah dalam bentuk daging kambing semasa Aidiladha buat pelarian di Syria melalui hasil sumbangan kewangan yang dikumpulkan daripada orang ramai tanpa sebarang had. Nabi bersabda, “Barangsiapa yang memberi makan kepada seorang mukmin, sehingga dapat mengenyangkannya dari kelaparan, maka Allah akan memasukkannya ke dalam salah satu pintu syurga yang tidak dimasuki oleh orang lain kecuali oleh orang-orang sepertinya.” [Hadis Riwayat Thabrani]

-------------------------------------------------------------------------------------------------

(Nota: https://zaahara.com/collections/qurban-makkah-aswadan-x-zaahara)

--------------------------------------------------------------------------------------------------

 

RUJUKAN

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

a. e-Sumber Maklumat Fatwa (e-SMAF) http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12243

b. Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban, Bilangan 2 Tahun 2013 http://www.islam.gov.my/images/garis panduan/garis_panduan_pelaksanaan_ibadah_qurban.pdf

2. Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Sarawak

a. Kelebihan Bulan Zulhijjah https://muftinegeri.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=news&sub=news_view&nid=196

3. Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam

a. Panduan Ibadah Korban http://www.mufti.gov.bn/SiteCollectionDocuments/FAQs/FAQ(PDF%20PG1).pdf

4. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

a. Irsyad Fatwa - Khas Haji & Korban https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-haji-korban

5. Amal Qurban https://www.amalqurban.com/soalan-lazim-qurban/

6. Sirap Limau - Gaya Hidup Famili Moden a. Apa Sebenarnya Hukum Buat Korban Di Luar Negara, Ini Penjelasan Dr Zaharuddin

aqiqah korban

← Older Post



Leave a comment